PENGENALAN

Hari raya haji dikaitkan dengan ibadah haji. Dalam Islam ia disebut Aidil Adha atau Hari Raya Qurban. Pada hari tersebut, umat Islam digalakkan mengadakan sembelihan qurban. Ini bermakna orang yang mengerjakan haji mahupun tidak digalakkan melakukan ibadah qurban. Qurban bermaksud menyembelih binatang ternakan (al-an’am) pada 10,11,12 Dzulhijjah.

Manakala ibadah aqiqah adalah menyembelih binatang ternakan (al-an’am) sempena menyambut kelahiran bayi sebagai tanda syukur atas kelahiran tersebut.

Kedua-dua ibadah ini adalah sama dari segi pensyariaatannya iaitu penyembelihan binatang ternakan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah, manakala yang membezakan antara keduanya pula ialah dari segi konsep. Ibadah qurban adalah sebagai lambang kesucian dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s terhadap Allah S.W.T, manakala aqiqah pula adalah lambang kesyukuran dan penebusan kerana kelahiran bayi menyembelih binatang (al- an-a’m) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam bidang pendidikan, kedua-dua tajuk ini dimasukkan dalam salibus matapelajaran Pendidikan Islam di sekolah dalam pelajaran 15 dan 16 bahagian ibadat Tingkatan Empat. Kedua-dua tajuk ini perlu dijelaskan dengan mendalam pada para pelajar supaya mereka faham konsep sebenar kedua-duanya, hukum perlaksanaanya, syarat sah keduanya serta persamaan dan perbezaan antara kedunya. Disebabkan hal ini maka saya telah menggabungkan kedua-dua tajuk berkenaan di dalam laman pegajaran ini dengan harapan maklumat yang sedikit ini mampu membantu para pendidik sebagai penyediaan bahan pengajaran serta pemahaman para pelajar/pelayar.



Berikut dinyatakan sama contoh bahan pengajaran yang boleh digunakan bagi tajuk ini:

---> Untuk contoh format rancangan mengajar sila klik di sini
---> Untuk meng"upload" nota berkaitan qurban sila klik download
---> Untuk meng"upload" nota berkaitan aqiqah sila klik download

PANDUAN PEMAHAMAN ANDA

JENIS BINATANG DAN BAHAGIANNYA

Tiada pertikaian bahawa, aqiqah itu adalah sunat untuk anak lelaki dan perempuan. Walau bagaimana pun timbul persoalan dari segi jumlah kambing yang disembelih untuk aqiqah itu anak lelaki dan perempuan.

  • Bayi lelaki- Dua ekor kambing atau biri-biri atau kibas atau 2/7 bahagian daripada lembu, kerbau atau unta
  • Bayi perempuan- Seekor kambing atau biri-biri atau kibas atau 1/7 bahagian daripada lembu, kerbau atau unta

- Jika anak yang dilahirkan itu lelaki, maka yang afdhalnya disunatkan menyembelih dua ekor kambing yang sama keadaan keduanya (besarnya). Manakala bagi anak perempuan, memadai dengan seekor kambing sahaja. Ini berdasarkan hadis daripada Ummi Kurz al-Ka‘biyyah katanya:

Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan anak perempuan seekor kambing." (Hadis riwayat Abu Daud)

- Pada perkara membuat aqiqah itu, yang lebih afdhal ialah dengan menyembelih tujuh ekor kambing, kemudian seekor unta, kemudian dengan seekor lembu atau kerbau, kemudian dengan seekor kibasy, kemudian dengan seekor kambing, kemudian dengan satu pertujuh unta dan seterusnya dengan satu pertujuh lembu atau kerbau.

- Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta yang banyak, adalah lebih afdhal lagi dan dituntut supaya dia melakukan aqiqah bagi seorang anak dengan tujuh ekor kambing atau dengan seekor unta atau lembu.


(A) Memadai dengan seekor kambing


Jika seseorang itu tidak berkemampuan untuk melakukan aqiqah bagi anak lelakinya dengan dua ekor kambing, maka memadailah dengan seekor kambing atau satu pertujuh daripada seekor unta, kerbau atau lembu. Ini kerana Nabi s.a.w sendiri membuat aqiqah untuk cucunda Baginda dengan menyembelih seekor kambing. Sebagaimana hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib katanya:

Maksudnya: "Rasulullah s.a.w mengaqiqahkan Hasan dengan seekor kambing." (Hadis riwayat at-Tirmidzi).


(B) Seekor kambing untuk dua orang anak


Jika seseorang itu mempunyai dua orang anak, lalu dibuatkan aqiqah untuk mereka dengan berkongsi seekor kambing adalah tidak sah aqiqah tersebut. Ini kerana seekor kambing itu hanya memadai dengan seorang sahaja melainkan unta atau lembu, kerana ianya boleh dikongsikan sehingga tujuh bahagian.

- Sebagai contoh, seekor unta atau lembu disembelih untuk dikongsikan bagi tujuh orang kanak-kanak.Seekor unta atau lembu itu juga, dagingnya boleh dikongsikan sama ada kesemua daging itu khusus untuk aqiqah atau pada sebahagiannya untuk daging biasa sahaja ataupun untuk daging korban, asalkan pembahagiannya itu bertepatan iaitu setiap seekor unta atau lembu tidak melebihi daripada tujuh bahagian.

(C) Bilangan binatang bagi anak yang khuntsa


- Bagi anak khuntsa (anak yang tidak diketahui jantinanya sama ada lelaki ataupun perempuan), para ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan binatang aqiqah yang hendak disembelih untuknya.

i. Ibnu Hajar berpendapat bahawa anak khuntsa sama seperti anak perempuan iaitu memadai disembelih dengan seekor kambing sahaja. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371)

ii. Imam ar-Ramli mengatakan bahawa bagi anak yang khuntsa sunat disembelih dua ekor kambing sama seperti anak lelaki atas jalan berhati-hati (ihtiyathan). (Nihayath al-Muhtaj: 8/149)

0 Comments:

Post a Comment